Malaikat adalah suatu
makhluk Allah yang mempunyai kesedaran yang amat tinggi. Dengan kesedaran yang
amat tinggi itu, mereka menjadi makhluk yang mulia, selalu bertasbih dan
beribadat mensucikan, membesarkan dan memuji muji Allah, selalu taat menjalankan
apa saja yang diperintahkan Allah kepada mereka. Mereka tak pernah derhaka atau
melanggar perintah Allah, tanpa makan dan minum, tanpa rehat atau tidur, mereka
selalu melaksanakan segala macam tugas yang di bebankan Allah atas mereka masing
masing sampai hari kiamat. Bila mereka itu makhluk yang tinggi dan mulia,
mengapa Allah memerintahkan mereka untuk sujud atau menghormati Adam? Apakah
Adam atau manusia lebih tinggi dan lebih mulia daripada Malaikat? Pertama
kita harus ingat, bahawa Allah memerintahkan Malaikat sujud kepada Adam,
bukanlah dalam erti menyembah, melainkan dengan erti menghormati. Menghormati
Adam tidak dapat diertikan menghormati manusia anak cucu Adam. Jadi penghormatan
ini khusus terhadap peribadi Adam. Mengapa peribadi Adam harus dihormati
oleh para Malaikat? Hal ini disebabkan oleh kerana peribadi Adam mempunyai
keistimewaan yang banyak sekali dan luarbiasa, yang tidak dipunyai oleh manusia
manusia lain atau makhluk yang mana pun juga. Keistimewaan keistimewaan yang
luar biasa itu adalah sebagai berikut: Adam adalah manusia pertama. Sebelum
Adam, belum ada manusia. Seluruh manusia selain Adam, semuanya adalah keturunan
Adam. Di antara manusia keturunan Adam itu, ada yang menjadi Nabi dan Rasul,
menjadi orang orang suci. Diantaranya ada orang pandai dalam berbagai bidang,
yang menyebabkan kemajuan hebat bagi manusia dari abad ke abad. Lihatlah
kemajuan anak cucu Adam yang hidup diketika ini. Sekalipun ada pula diantara
anak cucu Adam sendiri yang menjadi perosak dan penjahat. Sebab itu, memang
sudah sepatutnya kalau para Malaikat memberikan penghormatan atau sujud kepada
Adam sebagai manusia pertama dan mempunyai turunan yang hebat itu. Adam
diciptakan sendiri olehNya. Sedangkan makhluk lain, seluruhnya diciptakan Allah
dengan perkataanNya: "Bila Allah menghendaki sesuatu, Ia hanya berfirman:
Jadilah! Maka jadilah apa yang dikehendaki Allah itu." Hanya Adam, yang Allah
ciptakan dengan kedua tanganNya. Demikianlah menurut al-Quran. Sedang menurut
Hadis, selain Adam, juga 'Arasy dan Syurga yang diciptakan Allah dengan
tanganNya. Maka sudah sepatutnya kalau para Malaikat diperintahkan Allah untuk
menghormati Adam. Kerana ia diciptakan Allah dengan tanganNya, Adam sungguh
suatu makhluk yang terhormat tiada taranya dialam ini.
Selain manusia pertama
yang diciptakan Allah dengan tanganNya, Adam adalah pula seorang Nabi, seorang
yang mendapat wahyu dari Allah. Menurut sebahagian Ulama, para Nabi dan Rasul
memang sama darjat kemuliaannya dengan para Malaikat. Bahkan ada diantara Ulama
yang berpendapat bahawa Nabi dan Rasul itu darjat kemuliaannya melebihi para
Malaikat, sebab Jibrail sebagai Malaikat tertinggi, ditugaskan pula menjadi
perantara antara Allah dengan para Nabi dan Rasul itu. Seperti halnya dengan
para Malaikat, maka Adam pun mempunyai kesedaran dan pengertian (akal), sehingga
Adam dan keturunannya dapat menyedari dan mengerti akan kebesaran Allah yang
menciptakan dirinya dan seluruh alam, dapat menyedari dan mengerti akan perintah
perintah dan larangan Allah. Adam dan manusia diciptakan Allah dalam sebaik
baiknya kejadian, kerana dia terdiri dari jasmani dan rohani (roh, akal, hati
dan nafsu), sehingga ia menjadi suatu makhluk yang beradab dan berkebudayaan,
terus maju tidak beku. Adam dan keturunannya diciptakan Allah untuk menjadi
Khalifah (penguasa atau pengatur) dibumi, sebagaimana Allah menciptakan Malaikat
sebagai Khalifah di langit. Kerana menyedari akan kedudukan dan kemuliaan
Adam, para Malaikat dapat mengerti akan perintah Allah untuk menghormati Adam.
Mereka lalu menjawab: "Baiklah, ya Tuhan kami. Kami dengar dan kami taati segala
perintahMu." Allah lalu menciptakan Adam dari tanah dengan tanganNya sendiri.
Berbentuk seperti bentuk kita manusia sekarang ini. Iaitu berkepala, berbadan,
bertangan dan berkaki. Lalu Allah hembuskan roh kepadanya, sehingga Adam menjadi
hidup. Adam menggerakkan kedua tangan dan kakinya, lalu ia bersin (batuk),
sehingga bergerak sekujur badannya, terbuka kedua matanya, bergerak jantung dan
paru parunya. Sekaligus ketika Adam membuka kedua matanya, melihat seluruh alam
di sekitarnya, timbullah pengertian dan kesedaran, dan dengan pengertian dan
kesedaran itu, dia mengucap: Alhamdulillahi Rabbil Alamin (Segala pujian bagi
Allah yang mengatur seluruh alam). Para Malaikat kagum sekagum kagumnya melihat
dan mendengar ucapan pertama yang keluar dari mulut Adam. Satu ucapan yang
berisi pengertian dan kesedaran tertinggi. Pengertian dan kesedaran bahawa alam
ini seluruhnya diciptakan dan diatur oleh Allah, sebab itu Allah selamanya harus
selalu disanjung dan dipuji. Para Malaikat serentak menjawab ucapan Adam:
"Yarhamukallahu, ya Adam." Ertinya: Allah selalu menumpahkan rahmatNya kepada
engkau, ya Adam, dan selamatlah. Para Malaikat lalu beratur mengelilingi
Adam, lalu sujud dan menghormati kepada Adam, sebagaimana yang diperintahkan
oleh Allah kepada mereka. Hanya Iblis yang tak mahu sujud dan tidak mahu
menghormati Adam. Dia tetap berdiri dan membangkang dengan sombongnya, tidak
mahu menjalankan apa yang diperintahkan Allah. Allah lalu berkata kepada
Iblis itu: "Bukankah engkau juga makhluk ciptaanKu, yang juga harus tunduk dan
menjalankan perintahKu? Tetapi kenapa engkau tidak sujud dan tidak memberi
hormat terhadap Adam sebagaimana Aku perintahkan?" Iblis menjawab: "Engkau
ciptakan aku dari api dan Adam dari tanah. Api lebih mulia dari tanah. Itu
bererti yang aku lebih mulia dari Adam. Maka tidak sepatutnyalah aku sujud dan
hormat terhadap Adam itu." Mendengar bantahan Iblis itu, Tuhan menjadi
marah, lalu berkata kepada Iblis: "Tempat ini (Syurga) bukan tempat orang yang
menyanggah terhadap Aku. Sekarang juga, engkau harus keluar dari sini."
Sesudah keluar dan terusir dari Syurga, Iblis kembali menyanggah dan berkata
kepada Allah: "Ya, Tuhan! Engkau usir aku dari Syurga ini kerana Adam. Aku
bersumpah, bahawa aku dengan semua anak keturunanku akan memusuhi Adam dan semua
anak dan keturunannya buat selama lamanya. Mereka akan aku sesatkan. Mereka akan
aku celakakan. Aku akan ajak dan anjurkan kepada mereka untuk berbuat keburukan
dan kerosakan didalam dunia ini nanti, agar kehidupan mereka selamanya susah dan
kacau bilau belaka." Mendengar ancaman Iblis itu, Allah lalu berkata: "Untuk
menghindarkan tipu daya mu itu, kepada manusia akan Aku beri suatu senjata yang
ampuh, ialah akal. Akal itu akan Aku bimbing dengan petunjuk petunjuk (agama),
Manusia yang tetap mempergunakan akal dan menurut petunjuk petunjukKu tidak akan
dapat engkau sesatkan dan perdayakan. Dengan akal itu, mereka akan dapat
membezakan yang baik dan yang buruk. Dengan tuntunan petunjukKu, akal mereka
akan mempunyai daya berfikir yang benar. Sesiapa yang tak menggunakan akal dan
tidak menurut petunjukKu, tentu dapat engkau goda dan sesatkan. Ini akan
dipertanggung jawabkan di hadapanKu nanti dihari kemudian (Akhirat). Mendengar
keterangan Allah itu, Iblis terdiam. Tetapi hatinya makin mendongkol, irihati
dan dengkinya terhadap manusia bertambah memuncak. Dia berpaling kepada
Adam. Mata dan seluruh perhatiannya sekarang ini ditujukannya kepada Adam. Dia
ingin tahu di mana letak kelemahan kelemahan jasmani dan rohani manusia. Adam
dipelajarinya dari segala segi. Akhirnya Iblis berkesimpulan bahawa manusia itu
selain mempunyai kekuatan berfikir, iaitu akal yang amat hebat itu, juga
mempunyai banyak kelemahan kelemahannya. Disamping akal itu, manusia mempunyai
nafsu. Dan nafsu itu banyak sekali macam ragamnya. Ada nafsu terhadap makanan
dan minuman, ada nafsu kelamin atau syahwat, ada nafsu terhadap harta benda dan
kekayaan, terhadap rumah tempat tinggal dan kenderaan dan ada pula nafsu
terhadap pangkat dan kedudukan yang tinggi di tengah tengah sesama manusia.
Ditiap tiap macam nafsu, tabiat dan karakter, terdapat banyak sekali pintu pintu
atau lubang lubang kelemahan dan setiap waktu dapat dimasuki oleh Iblis untuk
memperdayakan dan mengacaukan kehidupan manusia Setelah melihat semua
kelemahan itu, Iblis ketawa kecut. Dia ketawa dan gembira, kerana berhasil
melihat kelemahan manusia. Tetapi hatinya menjadi kecut dan takut, bahawa
manusia disamping mempunyai kekuatan yang hebat, iaitu akal, juga dengan akal
itu dapat menerima petunjuk petunjuk Tuhan. Petunjuk Allah itu adalah merupakan
satu benteng berlapis waja yang tidak mungkin dapat ditembus oleh Setan dan
Iblis. Iblis dari semula mengakui akan kelemahan dirinya menghadapi manusia
yang sedar dan iman yang berbentengkan petunjuk Allah dalam hidupnya. Bahkan
kalau kita manusia mengerti dan sedar pula akan kelemahan Iblis dan kekuatan
rahsia dari keimanan yang penuh terhadap Allah dan petunjuk petunjuk Allah,
manusia akan selamat dalam kehidupan dunia dan akhiratnya dan akan terhindar
dari tipu muslihat Iblis atau kesesatan dalam hidup. Iblis adalah satu
kekuatan ghaib yang dapat disamakan dengan gelap. Sedang keimanan terhadap Allah
dan petunjuk petunjuk Ilahi adalah pula satu kekuatan ghaib yang dapat disamakan
dengan terang atau cahaya. Bila suatu tempat tidak dimasuki oleh cahaya, pasti
tempat itu diisi oleh gelap. Bila tempat yang gelap itu dimasuki cahaya, pasti
gelapnya lenyap. Begitu pulalah manusia sebagai tempat. Bila dia kosong dari
keimanan dan petunjuk Ilahi, akan bermaharajalelalah Setan dan Iblis atas
dirinya. Tetapi bila manusia mempunyai keimanan di dada dan selalu disiram
dengan petunjuk petunjuk Ilahi, segala daya Iblis tak mampu
memperdayakan. Kepada Adam diajarkan Tuhan pengetahuan pokok untuk dapat
hidup di permukaan bumi. Allah mengajarkan kepada Adam nama dari tiap sesuatu.
Untuk sekadar membuktikan kepada para Malaikat, bahawa manusia layak menjadi
Khalifah dibumi, dan patut mendapat penghormatan dari Malaikat, Allah lalu
memanggil Adam dan Malaikat supaya berkumpul. Kepada Malaikat Allah lalu
berfirman: "Cuba kamu sebutkan nama dari tiap tiap sesuatu yang terdapat di
permukaan bumi itu, sekiranya kamu mengetahuinya." Dengan merendahkan diri
serendah rendahnya, Malaikat menjawab: "Maha Suci Engkau, ya Tuhan kami! Kami
tidak mengetahui nama nama dari semua itu. Pengetahuan kami hanya sekadar apa
yang Engkau ajarkan kepada kami. Hanya Engkau saja, ya Allah, yang mengetahui
segala galanya." Allah lalu berkata kepada Adam: "Hai, Adam! Sekarang cuba
engkau sebutkan nama dari benda benda itu semuanya!" Dengan segera Adam
menyebutkan nama dari tiap tiap benda yang dihadapkan Allah kepadanya, di
hadapan kesemua Malaikat. Kemudian itu Allah lalu berfirman kepada Malaikat:
"Bukankah Aku sudah katakan kepada kamu sekalian, bahawa Aku mengetahui apa yang
kamu tidak mengetahui, tentang rahsia rahsia langit dan bumi, Aku mengetahui apa
yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan." Buat Adam diberi Allah
tempat di dalam Syurga. Makanan dan minuman tersedia serba cukup. Begitu juga
apa saja yang ia inginkan. Tetapi sayang, Adam tinggal di Syurga itu seorang
diri, sebatang kara. Tempat yang sebagaimana bagusnya, makanan dan minuman yang
bagaimana juga lazatnya tidaklah memberikan kepuasan dan kebahagiaan yang
sempurna. Manusia memerlukan teman, sekalipun hanya seorang, dengan siapa dia
dapat mengemukakan suka dan dukanya, atau kasih dan sayangnya. Teman inilah yang
tak dipunyai oleh Adam, sekalipun dia sudah mempunyai Syurga dengan segala
kesenangannya. Sebab itu hidupnya selalu dalam kesepian. Allah tahu akan
penderitaan yang berupa kesepian yang di derita oleh Adam di dalam Syurga itu.
Dan Allah kasihan melihatnya. Oleh karena itu Allah akan menciptakan makhluk
baru yang sama dengan Adam, tetapi jenis wanita, untuk menyempurnakan segala
kekurangan dan kesepian dalam hidup Adam, untuk menjadi isterinya. Dengan tujuan
yang lebih tinggi, ialah untuk meramaikan permukaan bumi, untuk membuat sejarah
kebudayaan yang lebih menarik. Sejurus kemudian, Adam mengantuk, lalu
tertidur. Di kala dia tertidur itulah, Allah s.w.t. menciptakan manusia kedua,
jenis wanita, isteri Adam yang bernama Hawa. Setelah Adam terbangun dan membuka
kedua matanya, dia melihat seseorang berdiri di samping, orang yang belum pernah
dilihat Adam sebelumnya. Orang itu dipersilakan Adam duduk di sampingnya, dan
kepadanya Adam lalu bertanya: "Siapakah engkau, dan siapa namamu?" Hawa
menjawab: "Saya adalah wanita, dan aku belum tahu akan namaku sendiri." Bukan
main senang dan gembiranya Adam melihat wanita itu berkata dan menggerak
gerakkan badannya. "Engkau aku beri nama Hawa ertinya: Orang yang aku
rindukan," kata Adam kepadanya. Para Malaikat datang dan bertanya kepada
Adam: "Siapakah nama temanmu itu, ya Adam?" "Namanya Hawa," sahut Adam.
Dengan isterinya yang bernama Hawa ini hilanglah kesepian dalam hidup Adam.
Keduanya hidup berbahagia di dalam Syurga, aman dan tenteram, tak kenal takut
dan lelah, makan-minum sepuas puasnya, kerana segala galanya tersedia serba
cukup. Allah lalu berfirman kepada Adam: "Hai, Adam! Tinggallah engkau
dengan isterimu di dalam Syurga ini. Makan dan minumlah sepuas puasnya. Tetapi
awas, janganlah engkau berdua memakan buah dari pohon ini. Bila engkau berdua
memakannya, bererti engkau berdua melanggar perintahKu, dan engkau berdua akan
mengalami kerugian besar, dan bererti aniaya terhadap dirimu sendiri."
Selain buah Khuldi itu, di dalam Syurga terdapat banyak dan bermacam ragam
buah buahan. Semuanya boleh dimakan oleh Adam dan Hawa. Hanya buah Khuldi itu
saja yang dilarang oleh Allah memakannya, agar dengan larangan itu, dapatlah
Adam dan Hawa menahan hawa nafsunya, dan dengan adanya larangan itu Adam dan
Hawa diuji tentang ingatan dan ketaatannya terhadap Allah. Kerana hanya dengan
ketaatan inilah Allah dapat memberikan kesempatan bagi manusia untuk tetap
tinggal di dalam Syurga bersenang senang dan berbahagia. Allah memberikan
peringatan kepada Adam dan Hawa agar keduanya menjauhkan diri dari Iblis, jangan
sampai menurutkan anjuran dan ajakan Iblis, karena Iblis sudah terang terang
menyatakan dirinya sebagai musuh Adam dan anak cucunya buat selama lamanya, dan
akan selalu sedaya upaya siang dan malam dengan tidak rasa letih dan tidak bosan
bosan, untuk menjauhkan Adam dan semua anak cucunya dari kebahagiaan hidup.
Allah berfirman kepada Adam: "Hai, Adam! Iblis itu adalah musuhmu dan musuh
isterimu. Dia akan selalu menggoda engkau berdua agar engkau berdua terusir pula
dari Syurga ini, sehingga engkau berdua hidup sengsara. Di Syurga ini engkau
berdua dapat hidup bahagia, tidak akan menderita lapar dan susah." Begitulah
Adam dan Hawa tinggal di dalam Syurga. Hidup senang dan bahagia, riang dan
gembira. Sedang Iblis yang sudah diusir dari Syurga, selalu berikhtiar untuk
dapat masuk Syurga kembali, guna menipu dan memperdayakan Adam dan isterinya.
Pada suatu kali, Iblis berhasil dapat masuk ke dalam Syurga, bertemu dengan
Adam dan isterinya. Iblis segera membujuk dengan berkata: "Hai, Adam! Aku datang
untuk memberi nasihat yang baik kepadamu. Mahukah kamu aku tunjuk, bahawa di
sana itu ada satu pohon yang amat lazat cita rasa buahnya. Bila buah yang lazat
itu engkau makan, maka engkau dapat tinggal tetap di dalam Syurga ini buat
selama lamanya, dan Syurga ini dapat engkau miliki sebagai satu kerajaan yang
tak akan rosak buat selama lamanya bagi engkau berdua." "Buah apakah
gerangan yang engkau maksudkan itu?" tanya Adam kepada Iblis. Iblis menunjuk ke
arah pohon Khuldi yang sudah dilarang oleh Allah memakannya. Melihat isyarat
Iblis itu, tahulah Adam bahawa Iblis sudah mulai menggoda dan menyesatkannya.
Adam lalu berpaling menjauhkan diri dari Iblis.
Tetapi Iblis tidak
lekas putus asa. Dia mendapat kesempatan yang kedua bertemu dengan Adam dan
Hawa. Segera pula dia memujuk: "Larangan Tuhan kepada engkau berdua memakan buah
Khuldi itu, dimaksudkan jika engkau berdua adalah Malaikat. Sedang engkau berdua
bukan Malaikat. Jadi engkau berdua tidak terlarang memakannya." Adam dan Hawa
tidak mengacuhkan pujukan halus itu. Keduanya berpaling dan menjauhkan diri dari
Iblis itu. Sebagai telah diterangkan, ketika Iblis terusir dari Syurga, ia
bersumpah dihadapan Allah bahawa ia dan anak keturunannya sampai hari kiamat
akan berusaha menyesatkan Adam dan anak keturunannya. Bila ia gagal dalam
usahanya yang pertama dan kedua, ia tidak akan berputus asa, pasti ia akan
berusaha untuk ketiga, keempat sampai ke sekian juta kalinya dalam menyesatkan
dan menggoda manusia Ia tahu betul, bahawa salah satu kelemahan manusia itu,
ialah sering lupa. Iblis menunggu satu waktu, di mana Adam dan Hawa sudah lupa
akan perintah Allah yang melarangnya memakan buah terlarang itu. Pada suatu
ketika, setelah diselidikinya, Iblis tahu betul bahawa Adam dan Hawa dalam
berlengah lengah kerana kesenangan di Syurga itu. Dan Iblis tahu betul bahawa
Adam dan Hawa disaat itu sudah merasakan agak lapar atau dahaga. Ia masuk
mendapatkan Adam dan Hawa setelah ia memetik sendiri akan buah yang terlarang
itu. Langsung dia berkata kepada Adam dan Hawa: "Makanlah buah ini, demi
Allah, aku ini bukan memujuk dan menyesatkan kamu, melainkan semata mata memberi
nasihat yang baik, agar kamu berdua dapat menetap di Syurga ini untuk selama
lamanya. Makanlah buah ini, makanlah!" Mendengar Iblis bersumpah dengan
menyebut nama Allah, Adam dan Hawa mulai berfikir: "Tentu seorang tak akan
berani bersumpah dengan menyebut nama Allah dengan sumpah yang bohong. Iblis itu
tentu berkata benar." Disaat Adam dan Hawa mulai ragu ragu terhadap kebenaran
perkataan Iblis itu, Iblis menyogokkan buah Khuldi itu kepada Adam dan Hawa.
Melihat buah yang ranum dan harum semerbak itu, selera Adam dan Hawa mulai
tertarik kepadanya. Adam dan Hawa lalu lupa akan larangan Allah yang melarangnya
memakan buah itu. Buah itu diambilnya lalu dimakannya. Baru saja buah Khuldi
itu masuk ke dalam rongga perut Adam dan Hawa, maka lenyaplah pakaian yang
menutup aurat keduanya, sehingga kedua suami isteri itu menjadi telanjang. Kedua
duanya pandang memandang dengan perasaan malu yang tidak terhingga. Keduanya
segera menyembunyikan diri agar tidak dilihat Allah. Keduanya memetik dua helai
daun kayu yang terdapat di dalam Syurga, untuk menutup aurat masing masing.
Allah lalu berfirman kepada Adam: "Hai, Adam! Apakah engkau lari dari Aku?"
Jawab Adam: "Bukan aku lari dari Engkau, ya Allah, tetapi aku malu dan takut
kepada Engkau." Berkata Allah: "Bukankah Aku sudah melarang kamu berdua
memakan buah itu! Dan Aku katakan pula, bahawa Iblis itu adalah musuhmu yang
nyata? Tetapi kenapa engkau berdua masih memakan buah yang Aku larang itu?"
Dengan menundukkan kepala serendah rendahnya, Adam dan Hawa minta ampun dan
taubat kepada Allah: "Ya Allah Tuhan kami! Kami sudah aniaya terhadap diri kami.
Kalau Engkau tidak sudi kiranya mengampuni dan mengasihani kami, sungguh kami
akan merugi dan sengsara berpanjangan." "Ya, Aku perintah, tapi engkau
berdua melanggar perintahku," kata Allah pula. "Maafkan dan ampunilah
kiranya kami ini, ya Tuhan," kata Adam dan Hawa serentak. Kembali Tuhan
berfirman dengan marah: "Aku telah beri tempat engkau berdua di SyurgaKu ini,
dan Aku sediakan segala apa yang engkau inginkan. Hanya Aku larang engkau berdua
memakan buah Khuldi itu. Apakah buah Khuldi itu lebih berharga bagi engkau
berdua daripada Syurga dengan segala isinya ini?" Sahut Adam: "Sungguh tak
aku kira Tuhan, Iblis berani berkata bohong kepadaku dengan menyebut namaMu."
Allah lalu memutuskan dengan firmanNya: "Demi kemuliaanKu. Engkau berdua
harus meninggalkan Syurga ini, turun ke bumi yang sudah lama terbentang, di mana
engkau berdua juga dapat hidup, tetapi harus dengan bersusah payah, dan dengan
mencucurkan keringat, kadang-kadang juga airmata." Dengan mata berlinang,
sedih dan takut, Adam bersimpuh menundukkan kepala di hadapan Tuhan minta ampun:
"Tuhanku! Tuhanku! Ampunilah aku, ampuni aku." Terhadap Adam, Hawa dan
Iblis, Allah menetapkan putusan yang tak dapat di robah lagi dengan berfirman:
"Kamu semua harus turun ke bumi. Disanalah tempatnya bagi kamu untuk hidup
bermusuh musuhan, tipu menipu, perdaya memperdayakan, berhasad dan dengki. Aku
beri kesempatan kepada masing masing kamu untuk hidup di bumi ini di dalam waktu
yang terbatas, juga dengan segala macam kesenangan dan kesusahan yang terbatas
pula. Nanti akan datang ajal kepada masing masing kamu, lalu masing masing kamu
akan Aku panggil kembali kepadaKu, untuk mempertanggung jawabkan apa yang kamu
sudah lakukan selama hidup dimuka bumi itu." Airmata semakin banyak jatuh
bercucuran dari mata Adam dan Hawa. Keduanya menangis tersedu sedu, sambil
menanggungkan sesal yang tidak terkira hebatnya atas kesalahan, lantaran godaan
Iblis. Kepada Adam dan Hawa kembali Allah berfirman: "Di bumi, kamu akan
selalu didatangi dan digoda oleh Iblis dan semua anak cucu dan kakitangannya. Di
bumi, kamu akan menghadapi perjuangan yang berat menghadapi mereka. Tetapi kamu
jangan takut. Kepadamu dan anak cucumu akan Aku turunkan petunjuk petunjuk
(ajaran-ajaran agama). Siapa diantara kamu dan anak cucumu itu yang senantiasa
mengikuti petunjukKu itu, dia tidak akan tersesat dan tidak akan sengsara."
Tidak lama kemudian, tibalah Adam dan Hawa dipermukaan bumi yang fana.
Diterimanyalah wahyu Ilahi yang pertama yang menyatakan, bahawa Allah sudah
berkenan mengampuni dosa dan menerima taubat Adam dan Hawa. Sungguh Allah suka
memberi ampunan dan taubat bagi siapa saja di antara hambaNya yang merasa
dirinya bersalah dan suka minta ampun dan taubat Cerita Adam yang memakan
buah terlarang, lalu dikeluarkan dari Syurga dan ditempatkan di bumi ini, sudah
menyesatkan banyak manusia dari dahulu sampai sekarang. Mereka katakan bahawa
dengan perbuatan Adam itu maka dia sudah berdosa sebesar besar dosa, sehingga
Adam diusir Allah ke bumi ini. Bahkan bukan hanya Adam dan Hawa saja yang
berdosa besar, melainkan juga seluruh anak keturunannya sampai hari kiamat.
Demikian hebat dan besarnya dosa Adam dan keturunannya dengan kesalahan
tersebut, tidak dapat diampuni begitu saja, sehingga Allah kerana kasihNya,
menjelma menjadi anak manusia melalui perut seorang wanita, lalu mati di tiang
salib untuk menebus dosa tersebut. Untuk menghindarkan manusia dari
kesesatan yang nyata ini, Allah telah mengutus RasulNya yang terakhir, iaitu
Muhammad s.a.w., untuk menyampaikan wahyu wahyu dari Allah, iaitu al-Quran.
Berulang kali dalam al-Quran, Allah menyatakan bahawa Adam melanggar perintah
Allah itu, adalah semata mata kerana terlupa sama sekali bukan kerana sengaja.
Sebab itu, Adam dianggap Allah hanya tersalah, dan bukan berdosa yang tidak
terampun. Semua kesalahan yang dilakukan manusia kerana lupa, tidaklah dianggap
Allah sebagai dosa. Apalagi kesalahan Adam ini hanya sekadar memakan sebiji
buah, tidaklah dapat dianggap sebagai kesalahan besar, melainkan hanya suatu
kesalahan yang amat kecil dan kecil sekali. Tetapi bagaimanapun kecilnya
kesalahan ini, kerana kesucian dan kesedarannya yang amat tinggi itu, Adam
sangat menyesal, Adam mengeluh, Adam minta ampun dan taubat. Seorang yang dapat
menyedari akan kesalahannya, bukanlah orang yang berdosa, melainkan seorang yang
amat mulia, seorang yang amat suci. Berulangkali pula didalam al-Quran
diterangkan, bahawa Allah sudah berkenan mengampuni kesalahan Adam yang kecil
itu. Bahkan bukan hanya diampuni dan diberi taubat saja oleh Allah, melainkan
kerana kesedarannya dan penyesalannya itu, Adam menjadi manusia yang terpilih,
diberi petunjuk dan diangkat Allah menjadi Nabi. Adalah suatu kesesatan yang
nyata, menganggap seorang Nabi orang berdosa. Begitu pun tentang
dikeluarkannya Adam dan Hawa dari Syurga, lalu dipindahkan dan ditempatkan di
bumi ini, bukanlah menunjukkan bahawa Adam berdosa. Kerana bukankah telah
diterangkan bahawa sebelum Adam melakukan pelanggaran tersebut, Allah sudah
menyatakan kepada seluruh Malaikat, bahawa Adam itu diciptakan Allah untuk
menjadi Khalifah di bumi ini. Ertinya bahawa Adam dan anak cucunya, diciptakan
Allah untuk menghuni bumi yang sudah terbentang luas. Adalah suatu kesesatan
yang nyata pula, kalau di katakan bahawa manusia ditempatkan di bumi ini, kerana
dosa dan kesalahan yang telah diperbuat Adam dan Hawa. Umat Islam harus
membersihkan diri dari kesesatan yang nyata ini. Adam menurut ajaran agama
kita Islam, selain manusia pertama, juga seorang Nabi dan Rasul. Kita umat Islam
diwajibkan beriman kepada semua Nabi dan Rasul, serta mempercayai bahawa setiap
Nabi dan Rasul itu harus bersih dari segala dosa, sekalipun sebagai manusia
mungkin saja tersalah, iaitu kerana lupa dan lain lain. Kesalahan bukan dosa.
Nabi nabi dan Rasul rasul yang lain pun pernah pula tersalah karena lupa. Nabi
Muhammad s.a.w. pernah tersalah, iaitu mengakhiri sembahyang asar yang
seharusnya empat rakaat, sesudah beliau baru saja melakukannya dua rakaat.
Setelah diperingatkan oleh para Sahabat yang menjadi makmumnya, barulah beliau
sedar, dan beliau langsung meneruskan sembahyang tersebut sampai empat rakaat.
Lebih hebat lagi kesesatan sebahagian manusia yang mengatakan bahawa:
kesalahan Adam itu menjadi dosa pula bagi semua anak cucunya sampai hari kiamat,
yang mereka katakan dosa asal. Padahal semua manusia yang baru lahir, bersih
dari segala dosa, sekalipun ibu bapanya berdosa atau bersalah. Tidaklah adil dan
patut kalau seorang ibu atau bapa berdosa, lalu anaknya dianggap berdosa pula
karena dosa ibu dan bapanya itu. Dosa itu baru timbul sesudah seorang anak
menjadi baligh dan berakal (aqil baligh), kerana perbuatannya sendiri.
Alangkah hebatnya dosa orang yang membawa manusia kepada agama
kepercayaannya yang setiap waktu secara berulangkali mengatakan bahawa Nabi Adam
berdosa. Mengambinghitamkan seorang manusia suci, Nabi dan Rasul, iaitu Adam,
untuk mendapatkan pengikut, bukanlah suatu perbuatan yang suci, melainkan
sebaliknya, suatu perbuatan yang tercela dan berdosa pula. Kisah Adam yang
demikian itu disampaikan Allah kepada manusia dengan perantaraan Kitab SuciNya
al-Quran, adalah sebagai pelajaran dan peringatan bahawa kita manusia sekalipun
makhluk terbaik dan mulia tetapi tetap mempunyai kelemahan. Diantara kelemahan
manusia itu ialah sifat pelupa. Dan disaat kita lupa itu, kita dapat
diperdayakan dan disesatkan oleh Iblis. Hendaknya berhati hati sekali jangan
sampai dapat disesatkan oleh Iblis itu.
|